My Add

Tuesday, 25 March 2014

TPM ucap takziah kepada keluarga penumpang, kru MH370

KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Mac, 2014: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga 239 penumpang dan kru pesawat MH370 yang disahkan berakhir di Lautan Hindi.

Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, berita tersebut amat mendukacitakan dan beliau berasa amat sedih terhadap tragedi itu yang berakhir dengan 239 nyawa terkorban.

"Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan ahli keluarga yang tertunggu-tunggu mengenai nasib penumpang pesawat itu sebaik sahaja menerima berita ini.

"Semoga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada keluarga penumpang dan kru MH370 untuk mengharungi cubaan ini," katanya.

Menurut Muhyiddin, seluruh dunia berkongsi kesedihan ahli keluarga dan rakyat Malaysia serta semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Marilah kita hadiahkan Al-Fatihah kepada penumpang Islam yang terkorban dan bertafakur untuk yang bukan Islam. Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Takziah," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment