3 anggota tentera AS ditembak mati
TEXAS, KHAMIS, 03 April, 2014: Seramai tiga orang anggota tentera terbunuh, sementara 16 lagi cedera selepas seorang askar Amerika Syarikat (AS) yang mengalami masalah mental bertindak melepaskan tembakan, sebelum membunuh diri di Pangkalan Tentera Fort Hood, di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Fort Hood, Mark Milley berkata, suspek yang menerima rawatan berikutan masalah kemurungan dan tekanan, memasuki dua buah bangunan di pangkalan berkenaan dan melepaskan tembakan sebelum dikepung oleh anggota polis tentera.
Penyerang yang tidak dikenal pasti itu kemudian bertindak membunuh diri dengan menembak kepalanya menggunakan sepucuk pistol .45 caliber.
Suspek terkorban selepas menembak dirinya sendiri dan setakat ini tiada bukti menunjukkan insiden berkaitan dengan keganasan,"jelas Milley.
Pegawai keselamatan berkata, daripada maklumat awal suspek dikenali sebagai Ivan Lopez, namun begitu Milley enggan mendedahkan identiti penyerang yang sudah pun berkahwin itu sehingga keluarganya diberitahu tentang perkara berkenaan.
Sementara itu, Hospital White di Temple yang menempatkan sebahagian mangsa yang tercedera melaporkan, sembilan daripada mereka kini sedang menerima rawatan rapi, manakala tiga lagi berada dalam keadaan kritikal.
Presiden AS, Barack Obama berkata, beliau berasa 'kecewa' kerana sekali lagi berlakunya kejadian tembakan di Pangkalan Tentera Fort Hood.
Kami akan melakukan penyiasatan sehingga ke akar umbi bagi mengetahui apa sebenarnya yang sudah berlaku. Saya berasa sangat kecewa atas kejadian ini," ujarnya.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia) itu merupakan yang ketiga berlaku di pangkalan berkenaan dalam tempoh masa enam bulan. - REUTERS/UTUSAN
No comments:
Post a Comment