Monday, 28 April 2014

Abhisit sedia bertemu Perdana Menteri Yingluck Shinawatra

BANGKOK, AHAD, 27 April, 2014: Ketua Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva bersedia mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra dan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra bagi menamatkan krisis politik di Thailand, dengan syarat pertemuan itu perlu disiarkan secara langsung.

Jurucakap parti, Chavanond Intarakomalyasut berkata, Abhisit berbuat demikian bukan untuk meraih sebarang kepentingan politik, sebaliknya melakukannya demi kebaikan negara.

Jelas Intarakomalyasut, bekas Perdana Menteri itu akan bertemu dengan Komander Tertinggi Tentera Thailand, Jeneral Thansak Patimaprakorn, esok bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan sebelum berjumpa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sehari kemudian.

"Syarat utama Abhisit mahu pertemuan dengan Yingluck dan Thaksin disiarkan secara langsung adalah untuk menunjukkan perbincangan tersebut diadakan dengan telus dan tiada agenda tersembunyi.

"Siaran langsung melalui perkhidmatan komunikasi dalam talian, Skype sudah mencukupi buat beliau," katanya.

Dalam pada itu, Intarakomalyasut menafikan kenyataan ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban yang mendakwa pihak pengantara dalam konflik politik di Thailand hanya menuruti arahan kerajaan, sekali gus merupakan penghinaan terhadap Abhisit.

Jelasnya, Abhisit bukan bertindak sebagai pengantara dalam isu terbabit, tetapi hanya mahu menamatkan krisis politik di Thailand.

Sementara itu, Yingluck berkata, beliau masih belum menerima sebarang pelawaan rasmi daripada Abhisit berhubung pertemuan berkenaan. - AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment