Monday, 28 April 2014

Dua termasuk wanita ditahan

Oleh ROSMAWATI SALIHIN

 Hamza Taib
KOTA KINABALU, AHAD, 27 April, 2014: Polis menahan dua individu, termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan penjualan projek pembinaan dan lot banglo di beberapa daerah di negeri ini, membabitkan kerugian melebihi RM1.5 juta

Kedua-duanya ditahan pada pukul 12.55 tengah hari di sebuah premis berhampiran Karamunsing Capital di sini, Khamis lalu, ekoran daripada 17 laporan polis yang dibuat oleh mangsa di Penampang, Kudat, Kota Belud dan Ranau.

Siasatan mendapati, suspek wanita berusia 48 tahun yang ditahan itu merupakan pengarah urusan syarikat tersebut manakala pembantunya, lelaki berusia 47 tahun.

Modus operandi mereka adalah dengan mengiklankan projek pembinaan dan lot banglo di seluruh negeri pada harga murah dalam akhbar-akhbar tempatan.

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Hamza Taib berkata, para pelanggan yang berminat kemudian diminta untuk membayar bayaran deposit sebanyak 20 peratus daripada nilai hartanah berkenaan.

"Difahamkan, sehingga kini 76 pelanggan yang percaya telah membuat pembayaran deposit bernilai RM1.56 juta.

"Pembayaran dibuat tanpa sebarang perjanjian jual beli atau penyerahan kunci seperti yang dijanjikan," katanya selepas melancarkan eksesais pengambilan khas jawatan (lelaki dan wanita) konstabel kaum Cina di sini, semalam.

Hamza seterusnya berkata, siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen berhubung kontrak pembinaan dan juga untuk mengutip sebarang bayaran daripada orang ramai.

"Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment