Gara-gara rumah jadi lokasi pengundian, PKR Paya Besar tangguh pemilihan
KUANTAN, SABTU, 26 April, 2014: Gara-gara rumah kediaman dipilih sebagai lokasi pengundian, pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Paya Besar di sini terpaksa ditangguhkan akibat bantahan daripada kepimpinan cabang itu sendiri.
Ini berikutan pemilihan rumah seorang aktivis yang terletak di Permatang Badak di sini yang dijadikan lokasi pengundian oleh PKR negeri dilihat tidak bertepatan dengan kedudukan PKR sebagai sebuah parti nasional, sekali gus boleh menjejaskan imej.
Selain Paya Besar, pengundian PKR Cabang Jerantut yang sepatutnya berlangsung di sebuah restoran di bandar itu turut ditangguhkan atas sebab masalah teknikal yang difahamkan berkaitan dengan kelayakan salah seorang calon Ketua Cabang, sekali gus mengundang bantahan daripada ahli.
Pemilihan kali ini sepatutnya menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi merebut jawatan Ketua Cabang Jerantut antara Saroni Tomiran dengan Razali Isnin.
Bagi 12 lagi cabang parti itu di negeri ini, proses pemilihan dapat diteruskan walaupun terdapat beberapa insiden kecil yang rata-ratanya melibatkan kelayakan ahli, namun tidak dianggap sehingga ke peringkat menjejaskan kelancaran proses tersebut.
Antaranya di Cabang Kuantan, apabila seorang individu membuat bantahan terbuka mendakwa tidak dibenarkan mengundi sedangkan nama beliau berada dalam senarai ahli yang layak memilih.
Difahamkan individu terbabit dibatalkan kelayakannya disebabkan telah mengumumkan keluar parti dan bertanding tiket Bebas dalam pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, menurut Pemangku Ketua Cabang PKR Paya Besar, Arman Abd. Rashid, pihaknya bertegas untuk tidak meneruskan pengundian di lokasi tersebut yang ditukarkan pada saat-saat akhir iaitu dua hari menjelang pemilihan kerana yakin akan timbul masalah lain jika diteruskan.
"Saya telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) supaya pemilihan diadakan di pejabat PKR Ranting Taman Tas di sini yang juga pejabat sementara PKR Cabang Paya Besar.
"Keputusan Ketua Koordinator Negeri, Ahmad Shahbudin itu saya lihat akan menyebabkan beberapa masalah jika diteruskan seperti logistik, pengagihan tugas dan persiapan tempat, jarak perjalanan dan paling utama adalah rumah individu yang sangat tidak sesuai dijadikan pusat pemilihan," katanya di sini, hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment