Jaclyn Victor dan Az Yet nyanyi lagu tema filem 'Ribbit'
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 April, 2014: Penyanyi Jaclyn Victor berduet dengan kumpulan R&B antarabangsa Az Yet untuk lagu tema filem 'Ribbit.'
Ribbit merupakan filem animasi 3D berbahasa Inggeris yang pertama terbitan KRU Studio.
Lagu tema berjudul 'Magical Moment' dicipta oleh Edry Abdul Halim dan liriknya dihasilkan oleh anggota Az Yet iaitu Dion Allen, Shawn Rivera, Kenny Terry dan Claude Thomas.
Menurut Jaclyn atau Jac, dia amat teruja kerana dapat berpadu suara dengan artis berkumpulan bertaraf antarabangsa itu.
"Saya sangat terharu bila diberikan peluang ini dan tidak sangka dapat merakamkan lagu dengan kumpulan antarabangsa yang sangat disegani dan berharap semua orang akan menyukai lagu ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Nyanyian itu juga merupakan lagu bahasa Inggeris pertama buat Jac yang dirakam bersama KRU Music selepas merakamkan dua buah lagu Melayu iaitu 'Sebelah Jiwaku, Jagalah Diri' dan 'Ikut Rentakku' sebelum ini.
Bagi kumpulan Az Yet pula, peluang terlibat dalam projek ini adalah satu kemunculan semula yang dinanti-nantikan peminat bukan saja di Asia tetapi juga di seluruh dunia.
Sementara itu, filem animasi 'Ribbit' akan dipasarkan pada September ini juga menampilkan suara bintang-bintang antarabangsa ternama seperti Sean Astin dari filem 'Lord of The Rings,' Tim Curry serta Russell Peters. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment