Saturday, 26 April 2014

JPJ tahan empat pemandu bas ekspres positif dadah

ALOR SETAR, SABTU, 26 April, 2014: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telahpun menahan empat pemandu bas ekspres yang didapati positif dadah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sejak ujian air kencing terhadap pemandu bas dilaksana Selasa lepas, pihaknya memeriksa kira-kira 622 pemandu di stesen bas ekspres seluruh negara.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya menahan dua pemandu di Negeri Sembilan, seorang di Wilayah Persekutuan dan seorang lagi di Terengganu.

"Kesemua pemandu positif dadah dibawa ke klinik untuk pemeriksaan lanjut dan buat sementara waktu ini, kita gantung lesen mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ Zon Utara hari ini.

Ismail berkata, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ismail berkata, JPJ turut mengarahkan anggotanya menyamar sebagai penumpang bas ekspres bagi melihat kesalahan pemandu sepanjang perjalanan menuju destinasi yang ditetapkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment