Monday, 28 April 2014

Latih Gen-Y hadapi semakan kali ketiga UPR

KUALA PILAH, AHAD, 27 April, 2014: Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) akan melatih sekumpulan Generasi Y (Gen-Y) sebagai persiapan menghadapi ancaman agresif pihak Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) menjelang semakan kali ketiga proses Universal Periodic Review (UPR) pada tahun 2018.

Ahli Jawatankuasa MuslimUPRo, Nasharudin Mat Isa berkata, usaha itu dibuat melalui Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) yang bakal beroperasi di Putrajaya tidak lama lagi.

Beliau berkata, pusat latihan itu akan menyediakan tenaga pakar di kalangan generasi muda sebagai pemimpin pelapis yang mendapat pendedahan secara lapangan di Geneva mengenai fungsi dan operasi Hak Asasi Manusia (HAM) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita mahukan penglibatan Generasi Y secara aktif kerana dalam tempoh empat tahun dari sekarang, kami yang mengasaskan Centhra akan semakin berusia dan memerlukan barisan pelapis mempertahankan Perlembagaan dan agama Islam.

"Setakat ini, kami menerima banyak permohonan daripada golongan muda yang berminat untuk bersama kami dalam proses semakan kali ketiga itu kelak," katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramah Cabaran Umat Islam Masa Kini: 'Comango', anjuran gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kuala Pilah, di Dewan Kompleks Rakan Muda, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah, Khairolnezam Shaari. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment