Monday, 28 April 2014

Lebih 28,000 berdepan kebuluran

 * SEORANG kanak-kanak Islam Republik Afrika Tengah mengalami masalah kekurangan zat makanan duduk di sebelah ibunya di pusat perlindungan di pekan Boda pada 15 April lalu. - AFP
BANGUI, AHAF, 27 April, 2014: Sekurang-kurangnya 28,000 penduduk kebanyakan kanak-kanak di Republik Afrika Tengah (RAT) berdepan kebuluran dan masalah kesihatan ekoran pergolakan di republik itu, lapor Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Wakil Unicef di negara ini, Souleymane Diabate berkata, jumlah kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan di Bangui sahaja, meningkat tiga kali ganda kepada 680 orang dari Januari hingga Mac tahun ini, berbanding 214 orang pada tempoh yang sama tahun lalu.

Diabate berkata, angka itu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa bulan lagi selepas kebanyakan keluarga tidak mampu menuai hasil tanaman, selain kekurangan air bersih, sanitasi dan perubatan, ekoran pertempuran antara kumpulan pemberontak Kristian dan Islam di negara ini.

"Di Republik Afrika Tengah, lebih ramai kanak-kanak akan mati akibat masalah kebuluran atau penyakit berbanding mati ditembak.

"Masalah pemakanan tidak seimbang lebih berbahaya pada musim hujan kerana penyakit cirit-birit dan malaria memuncak pada waktu itu, sekali gus meningkatkan risiko kematian kanak-kanak," katanya.

Setakat tahun ini, Unicef dan pertubuhan kesihatan yang lain telah merawat lebih 6,800 kanak-kanak akibat kekurangan zat makanan di seluruh negara, namun angka itu dijangka meningkat melebihi 28,000 pada hujung tahun ini jika tidak ditangani segera.

Sejak krisis kekurangan makanan berkhasiat bermula, Unicef menjadi penyumbang utama makanan sihat seperti susu di negara ini untuk mengatasi masalah tersebut.

Sepanjang bulan April, lebih 2,600 kartun makanan dan susu berkhasiat diedarkan di seluruh negara bagi menyelamatkan hampir 3,000 kanak-kanak.

Unicef menggesa pihak antarabangsa menghulurkan bantuan kira-kira AS$11 juta (RM33 juta) bagi menjalani program pemakanan untuk membantu golongan terbabit di negara ini. - AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment