Lebih 30,000 meriahkan Fiesta Riuh Sakan
PUTRAJAYA, AHAD, 27 April, 2014: Lebih 30,000 pengunjung hadir memeriahkan sepanjang tiga hari program Fiesta Riuh Sakan anjuran Utusan Malaysia, Kosmo! di Monumen Alaf Baru, Presint 2 di sini yang berakhir hari ini.
Fiesta bermula kelmarin itu menampilkan pelbagai program menarik termasuk program agama menerusi slot Rileks Santai oleh dua penceramah terkenal tanah air, Ustaz Kazim Elias dan Kapten (B) Datuk Mohd. Najmuddin Elias al-Hafiz.
Lebih menarik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut menyediakan buah-buahan tempatan secara percuma sempena penutupan fiesta yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat; dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron.
Dalam pada itu, Tengku Adnan dalam ucapannya berkata, fiesta tersebut mampu memupuk nilai kekeluargaan seiring dengan peranan akhbar Kumpulan Utusan yang mendahulukan wadah membentuk masyarakat supaya cintakan keamanan dan perpaduan.
"Saya berharap usahasama pintar bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Kementerian Wilayah Persekutuan ini mampu menjana aktiviti kemasyarakatan sekali gus meningkatkan imej Putrajaya sebagai destinasi pelancongan terunggul di rantau ini.
"Syabas kepada Kumpulan Utusan di atas inisiatif serta komitmen yang tinggi dalam menganjurkan fiesta yang meriah dan penuh dengan program-program mendidik," katanya.
Tengku Adnan turut berharap fiesta tersebut dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan berdasarkan sambutan yang cukup meriah diberikan oleh warga Putrajaya.
Beliau berkata, program berbentuk aktiviti rekreasi dan riadah itu memberi peluang kepada setiap keluarga meluangkan masa bersama dan membentuk sebuah masyarakat harmoni.
Sementara itu, majlis penutup fiesta tersebut bertambah meriah dengan kehadiran 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada Kelab Kembara Bermotosikal Utusan.
Pada masa sama, kemunculan penyanyi, Black dan penampilan istimewa artis cilik daripada pertandingan Juara Idola Indonesia 2010, Lintar turut menyerikan lagi program tersebut. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment