My Add

Monday, 28 April 2014

MH370: Fasa baharu pencarian diumum esok - Hishammuddin

Oleh AZRUL NAIMI

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 April, 2014: Kerajaan akan mengumumkan langkah terbaharu yang akan diambil dalam operasi pencarian pesawat MH370 esok.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan turut mengumumkan beberapa perkara berkaitan ketiga-tiga jawatankuasa yang ditubuhkan sebelum ini.

"Kami bermesyuarat hari ini dan saya akan memberi satu kenyataan esok," kata Hishammuddin ketika ditemui di sini hari ini.

Ketiga-tiga jawatankuasa yang telah ditubuhkan ialah berkenaan teknikal, pengerahan aset dan waris penumpang.

Pagi tadi, Perdana Menteri Australia, Tony Abbot mengumumkan operasi pencarian yang kini sudah memasuki hari ke-52 masih belum menemui sebarang petunjuk positif bahawa pesawat tersebut akan dijumpai dalam masa yang terdekat.

"Bagi fasa baharu ini, kita akan berbincang semula dengan pihak Australia dan ketiga-tiga jawatankuasa yang ditubuhkan itu mampu membantu memberi maklumat dalam mengkoordinasikan operasi pencarian," kata Hishammuddin.

Untuk rekod, operasi pencarian yang kini tertumpu di Lautan Hindi dikoordinasi oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang berpangkalan di Perth, Australia.

Mengulas pertemuan beliau dengan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom, Simon Featherstone, dan Duta Besar China, Huang Huikang, Hishamuddin berkata, beliau menegaskan kerajaan Malaysia masih komited dalam meneruskan operasi pencarian. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment