Monday, 28 April 2014

Orang Melayu perlu fahami Perkara 160 Perlembagaan

TELOK KEMANG, AHAD, 27 April, 2014: Orang Melayu mesti mengenal dan mengamalkan budaya mereka jika Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan hendak dimartabatkan.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Fasal 160 itu menyatakan bahawa ciri orang Melayu adalah mereka yang bertutur dengan lazim bahasa Melayu, memeluk agama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

"Tentunya perkataan adat istiadat Melayu bermakna budaya Melayu kerana istilah adat itu adalah sebahagian daripada budaya. Perlu diakui bahawa pada masa ini tuntutan perkara 160 itu tidak banyak dianalisis atau dihuraikan demi kelangsungan dan keutuhan Melayu itu sendiri.

"Pentingnya rakyat khasnya masyarakat Melayu memahami dan menerima hakikat bahawa sesuatu bangsa itu perlu menjaga segala warisannya khasnya terhadap seni budaya mereka," katanya semasa berucap pada Majlis Simposium Muafakat Minang di Politeknik Port Dickson (PPD), dekat sini semalam.

Katanya, orang Melayu kini mudah menggunakan perkataan Inggeris seolah-olah sudah tiada perkataan sendiri bagi sesuatu fasal atau maksud.

"Kita sudah lupa prinsip asas bahasa ibunda yang mana seharusnya menggunakan istilah dalam bahasa sendiri terlebih dahulu.

"Aliran ini nampaknya lebih deras menghanyutkan dengan wujudnya dunia siber yang bersifat talam dua muka iaitu mengajar, memaklumkan serta mengancam dan memusnahkan sifat warisan.

"Ia disebabkan istilah Inggeris begitu cepat masuk dan digunakan tanpa memikirkan kesannya terhadap warisan dan budaya kita," jelasnya.

Menurut Rais, masyarakat Me­layu sering menganggap budaya itu hanya pada lagu, nyanyian, muzik, joget, zapin dan sebagainya.

"Mereka tidak menyedari bahawa budaya sebenarnya adalah adat, cara hidup, budi, nilai murni dan ajaran yang mana mencerminkan kekitaan kita semua.

"Kita perlu menjadi Melayu sebenar dan bukan Melayu asuhan dunia siber yang penuh peniruan negatif yang telah menghakiskan warisan, tulisan jawi, kata-kata adat, budaya serta bimbingan Islam yang luhur.

"Jangan ubah bahasa, nilai dan persekitaran warisan kita kerana ia sekali gus akan mematikan budaya yang mana kita sendiri membunuhnya," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment