Pemaju disyaratkan hantar sisa pepejal ke Sungai Kertas
KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 April, 2014: Kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan bangunan di bandar raya ini akan diwajibkan menghantar semua sisa pepejal pembinaan ke Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Kertas, Gombak sebagai syarat untuk mendapat Arahan Pembangunan (DO).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, syarat itu akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah lambakan pembuangan sisa pepejal pembinaan haram.
"Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Kertas seluas 5.7 hektar menyediakan kemudahan pemprosesan semula sisa bahan binaan untuk dijadikan agregat yang boleh digunakan untuk pembinaan infrastruktur dan bangunan.
"Ini penting memandangkan pelbagai projek pembangunan semula yang melibatkan perobohan bangunan akan dijalankan seperti Flat Pekeliling, sekitar Pudu dan Chow Kit serta Menara Tradewinds di Jalan Raja Laut," katanya semasa lawatan ke tapak itu di sini hari ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment