Thursday, 3 April 2014

Rumah panjang terbakar, 124 penghuni hilang tempat tinggal

SIBU, KHAMIS, 03 April, 2014: Seramai 124 orang hilang tempat tinggal apabila rumah panjang yang mempunyai 18 pintu dan lima rumah lain di Sungai Engkalat dekat sini terbakar, pagi tadi.

Kebakaran yang berlaku kira-kira 8.45 pagi itu memusnahkan rumah panjang Rh. Adin Jawa yang berusia kira-kira 100 tahun.

Ketua Bomba dan Penyelamat Sibu, Abdul Mutalif Rashid berkata 12 anggota dari balai Sungai Merah dan sembilan anggota dari balai pusat Sibu digegaskan ke tempat kejadian, termasuk tambahan enam lagi anggota.

"Sebaik kami tiba, api sudah pun merebak. Kami dapat mengawal api pada pukul 9.53 pagi dengan menggunakan air dari Sungai Igan berhampiran," katanya.

Beliau berkata, api cepat merebak kerana rumah panjang itu dan rumah yang lain dibina berdekatan antara satu sama lain.

Tiada yang cedera, kata Abdul Mutalif. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment