Saturday, 3 May 2014

Boleh dibuang kerja - KSN

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Kakitangan awam yang didapati menyertai perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka semalam akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan bahagian masing-masing, berdasarkan pekeliling ditetapkan kerajaan.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, sebagai seorang penjawat awam, mereka seharusnya berpegang kepada etika perkhidmatan awam dan aku janji yang telah ditandatangani serta peraturan wajib dipatuhi.

Malah, katanya, sebagai penjawat awam, seharusnya mereka berperanan untuk mendukung dan melaksanakan Dasar Transformasi Negara supaya Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Jika ada kakitangan awam yang terlibat dalam demonstrasi itu, mereka akan dikenakan tindakan tegas berdasarkan pekeliling ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sekiranya terdapat bukti kukuh, semua tindakan akan diambil termasuk memberi amaran sehingga dibuang kerja.

“Tindakan tegas itu wajar memandangkan perkara tersebut (terlibat dalam perhimpunan) dilarang. Penjawat awam sudah sedia maklum berhubung larangan menyertai perhimpunan yang menentang dasar kerajaan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 864 kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Dalam pada itu, Ali berkata, kerajaan akan terus komited dalam meneruskan Agenda Transformasi Negara yang dilaksanakan sebelum ini melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Sosial.

Jelasnya, program transformasi dilaksanakan bersifat struktur melalui dasar negara dan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berupaya meningkatkan daya saing negara.

“Tambahan pula dalam keadaan ekonomi dunia pada masa ini, program berkenaan akan memberikan kelebihan atau nilai tambah kepada negara-negara yang melakukan transformasi," ujarnya.

Tambahnya, melalui landasan tersebut, negara akan berupaya untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kukuh.

“Sehubungan itu, sebagai penjawat awam, kita seharusnya berperanan mendukung dan merealisasikan dasar-dasar tersebut untuk meningkatkan daya saing negara, di samping menjana kadar pertumbuhan ekonomi yang positif," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment