Sunday, 4 May 2014

DAP tiada hak letak calon dalam PRK

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Mei, 2014: DAP didakwa tidak berhak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan selagi surat Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai kedudukan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu bertarikh 6 Disember tahun lalu tidak dibatalkan melalui perintah mahkamah.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, surat itu masih berkuatkuasa meskipun terdapat pertikaian melalui permohonan semakan kehakiman yang belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Jelas beliau, senario kedudukan CEC DAP sekarang tidak sama sewaktu pilihan raya umum lalu kerana surat arahan ROS bertarikh 19 April tahun lalu yang berasaskan pemilihan jawatankuasa itu pada 25 Disember dua tahun lalu telah membenarkan calon-calon DAP menggunakan logo parti.

Walau bagaimanapun, katanya, setelah pemilihan semula pada 29 September tahun lalu, timbul keraguan yang munasabah hasil laporan oleh ahli DAP sendiri menyebabkan ROS telah mengeluarkan surat arahan mandatori bertarikh 6 Disember lalu untuk tidak mengiktiraf pemegang jawatan CEC parti itu.

"Malah ROS turut mengarahkan CEC supaya jangan membuat apa-apa keputusan bagi pihak DAP sehinggalah pihaknya selesai menjalankan siasatan ke atas pelaksanaan kongres DAP yang diadakan pada 29 September tahun lalu.

"Sehubungan itu, secara rasional pada pandangan pihak kami, apa jua keputusan dalam bentuk arahan oleh pihak ROS terhadap parti itu sebelum tarikh 6 Disember tahun lalu adalah dengan sendirinya telah terbatal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, atas sebab itu KMPP mendesak ROS ketika menggunakan bidang kuasa di bawah Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966 memberikan penjelasan segera mengenai tafsiran sebenar surat bertarikh 6 Disember itu.

Penjelasan itu kata Rahmad, amat penting bagi membolehkan DAP membuat keputusan untuk melantik calon mereka dalam dua PRK iaitu di Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

"Penjelasan segera daripada ROS dalam isu berkenaan amat diperlukan bagi menghindari sebarang persepsi negatif oleh mana-mana pihak khususnya dari sudut permainan politik yang berunsur propaganda serta bebas daripada episod menuding jari," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment