My Add

Friday, 2 May 2014

Keluarga diberi pampasan awal
Oleh SOFIAN BAHAROM
 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Ahli keluarga penumpang pesawat MH370 yang layak akan diberikan pampasan awal dengan segera bagi memenuhi tuntutan kewangan mereka ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya (gambar) berkata, pembayaran pampasan itu tidak akan memberi kesan kepada hak anggota keluarga untuk mendapat pampasan mengikut peringkat perundangan seterusnya dan akan dijumlahkan pada pampasan terakhir.

"MAS juga telah mengambil keputusan untuk mengubah kaedah pemberian sokongan dan perkhidmatannya kepada kaum keluarga pesawat berkenaan dengan menasihatkan me­reka pulang di kediaman masing-masing.

"Sejurus selepas anggota keluarga itu pulang ke kediaman masing-masing, wakil-wakil MAS akan menghubungi mereka dengan segera untuk menjelaskan pampasan awal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Ahmad Jauhari tidak menyatakan jumlah pampasan awal itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berbanding tinggal di hotel, ahli keluarga kini boleh mengikuti perkembangan misi pencarian pesawat tersebut di kediaman masing-masing dengan kehadiran orang tersayang.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan MAS akan menutup kesemua pusat bantuan keluarganya di seluruh dunia pada 7 Mei ini.

"MAS akan terus menghubungi ahli keluarga penumpang berhubung sebarang perkembangan baharu melalui panggilan telefon, mesej, internet, dan pertemuan. Dengan sokongan kerajaan Malaysia, pusat sokongan keluarga akan diwujudkan di Kuala Lumpur dan Beijing.

"Perincian pusat ini akan diberitahu secara bersemuka kepada kaum keluarga," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment