Kementerian Pengangkutan keluarkan laporan awal MH370
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Laporan awal MH370, yang turut mengandungi rakaman audio perbualan antara kokpit dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur serta senarai kargo, dikeluarkan hari ini oleh Kementerian Pengangkutan.
Laporan itu turut memuatkan peta laluan penerbangan, pelan tempat duduk penumpang selain dokumen tambahan yang memberi maklumat lanjut berkaitan tindakan yang diambil antara 1.38 pagi dan 6.14 pagi pada 8 Mac, hari MH370 dilaporkan hilang.
Dalam satu kenyataan, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, laporan awal itu dikeluarkan berdasarkan kepada panduan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak -- bahawa selagi maklumat tertentu yang dikeluarkan itu tidak menghalang penyiasatan atau operasi pencarian -- atas nama keterbukaan dan ketelusan, maklumat itu seharusnya diumumkan.
Minggu lepas Najib melantik sepasukan pakar dalaman untuk menyemak semula semua maklumat yang dimiliki kerajaan Malaysia berkaitan MH370, dengan matlamat untuk mengeluarkan seberapa banyak maklumat yang boleh kepada umum, katanya.
Najib, ketika diwawancara oleh pakar penerbangan stesen penyiaran CNN, Richard Quest minggu lepas, berkata, Malaysia bersedia mengeluarkan laporan awal MH370 minggu ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment