Kenali dahulu perbezaan jihad dengan militan - Mukhriz
KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Mei, 2014: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun D. Mahathir meminta umat Islam supaya bijak membandingkan antara konsep jihad sebenar yang dituntut dalam Islam dengan aktiviti militan supaya ia tidak mensia-siakan nyawa mereka.
Beliau berkata, kebanyakan individu yang terlibat dalam aktiviti militan menganggap ia sebagai satu perjuangan jihad seperti membantu masyarakat negara Islam yang sedang bergolak seperti di Syria.
"Namun setakat ini kita pun belum tahu pihak mana (di Syria) yang betul. Seperti yang kita tahu, ini merupakan satu perang saudara yang langsung tidak melibatkan Malaysia.
"Jadi saya tidak berapa faham, apa yang mereka (rakyat Malaysia) fikirkan sehingga sanggup menggadaikan nyawa untuk tujuan tidak berapa jelas," katanya pada sidang media selepas melancarkan 'Kedah Organics' di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa seorang ustaz dari Baling terlibat berperang di pihak Mujahiddin untuk menumpaskan kerajaan Syria seperti yang tersebar luas di laman media sosial. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment