My Add

Thursday, 1 May 2014

Khalid berhasrat lepas jawatan MB

SHAH ALAM, RABU, 30 April, 2014: Selepas dua penggal menjadi Menteri Besar sejak 2008, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini secara terbuka melahirkan hasrat untuk melepaskan jawatannya pada penggal akan datang.

Abdul Khalid menerusi laman sosial Twitter berkata, penggal ini merupakan tempoh terakhir beliau sebagai Menteri Besar.

“Saya tidak bercadang menjadi Menteri Besar untuk penggal yang ketiga tetapi saya akan terus berkhidmat hingga akhir penggal ini," katanya menerusi status dalam laman sosial berkenaan hari ini.

Tambah Abdul Khalid, selain berundur sebagai Menteri Besar, beliau juga mahu dikenang sebagai seorang pemimpin yang berkhidmat kepada rakyat.

Abdul Khalid mula dilantik sebagai Menteri Besar setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Beliau kemudian kekal memegang jawatan itu untuk penggal seterusnya bagi 2013 hingga 2018 setelah memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Dalam pada itu, sumber Pejabat Menteri Besar Selangor ketika dihubungi mengesahkan status Twitter tersebut adalah milik Abdul Khalid selain menyatakan perkara berkenaan pernah dibangkitkannya sebelum ini.

Bagaimanapun, sumber itu menafikan status Twitter Abdul Khalid mempunyai kaitan dengan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung ketika ini termasuk desakan pihak tertentu sebelum ini yang mahukan beliau meletak jawatan.

Pada pemilihan PKR kali ini, Abdul Khalid merupakan calon Timbalan Presiden PKR menentang penyandangnya, Azmin Ali yang juga Pengerusi PKR Selangor dan Setiausaha PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Negeri daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Shamsudin Lias ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan hasrat Abdul Khalid yang tidak mahu mempertahankan jawatan berkenaan pada penggal depan disebabkan wujud konflik dalaman antara pemimpin pakatan pembangkang.

Beliau juga tidak menafikan tindakan Abdul Khalid itu semata-mata mahu menguji sokongan ahli PKR atau pakatan pembangkang terhadap kredibilitinya sebagai Menteri Besar.

Usaha untuk mendapatkan pandangan Azmin mengenai hasrat Abdul Khalid itu gagal berikutan panggilan ke telefon bimbitnya tidak dijawab. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment