Thursday, 1 May 2014

khalid nafi didesak Anwar

SHAH ALAM, RABU, 30 April, 2014: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan keputusan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menamatkan catuan air disebabkan desakan Penasihat Ekonomi negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, keputusan untuk menghentikan catuan itu yang berkuat kuasa esok dibuat dalam mesyuarat Pelan Catuan Bekalan Air Negeri Selangor pada Isnin lalu.

Menurutnya, mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) serta syarikat konsesi.

“Bukan sebab Anwar dan tiada kena mengena dengan sesiapa pun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Anwar yang juga Penasihat PKR dalam satu kenyataan semalam mendesak catuan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dihentikan.

Menurut Anwar, catuan perlu dihentikan kerana paras kebanyakan empangan di Selangor telah naik, meskipun paras empangan Sungai Selangor yang menjadi sumber bekalan air utama belum mencecah 42 peratus.

Abdul Khalid yang juga calon Timbalan Presiden PKR dalam pada itu turut menafikan keputusan penamatan catuan berkenaan dibuat untuk meraih sokongan politik ketika pemilihan PKR sedang berlangsung.

“Tiada, kalau begitu lebih baik saya buat lebih awal daripada ini. Ini bukan keputusan berunsur politik tetapi keputusan yang profesional dan saya percaya rakyat Selangor mahukan keputusan seperti ini," katanya.

Pelaksanaan pengagihan air berjadual peringkat satu di Selangor dan Kuala Lumpur mulai 27 Februari lepas berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi akibat paras ammonia daripada sumber air mentah melebihi paras yang dibenarkan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment