Saturday, 3 May 2014

Malaysia tuan rumah Global ICA 2017

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Global Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) 2017 dengan diketuai oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sebagai badan induk koperasi negara.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, persidangan itu akan memperlihat pertemuan antara negara-negara Asia Pasifik, Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Afrika yang mempunyai sebanyak 290 ahli daripada 25 negara.

“Telah menjadi hasrat kita untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan terbesar koperasi tersebut. Ini merupakan peluang Malaysia mempromosikan negara, ekonomi dan sistem koperasi negara kepada dunia luar.

“Selain mempromosi negara, banyak perkara lain yang perlu dilakukan oleh Angkasa terutama mengambil tanggungjawab dalam menerangkan isu kelapa sawit yang masih menjadi topik hangat di negara-negara luar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu Abdul Fattah menerima kunjungan Pengarah ICA Global, I. Balasubramaniam yang baru dilantik sebagai pengarah serta beberapa ahli ICA Asia Pasifik dari Korea dan Jepun.

Menurut Abdul Fattah, Angkasa akan memberi tumpuan kepada dua topik utama dalam Global ICA 2017 iaitu kelapa sawit dan perbankan Islam, sehubungan itu pihaknya dalam proses mengumpul pelbagai maklumat berhubung dua isu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, dua topik utama itu akan diterangkan secara asas terdahulu dalam Global ICA 2015 yang akan berlangsung di Turki nanti.

“Pada Global ICA 2011, kelapa sawit merupakan isu paling hangat dibincangkan, banyak negara luar berpendapat kaedah penanaman di Malaysia adalah berbahaya. Mereka menganggap selepas ditebang tiada tanaman semula.

“Oleh kerana itu, kita menawarkan diri sebagai tuan rumah pada tahun 2017. Angkasa mahu menerangkan kaedah penanaman kelapa sawit di Malaysia sebenar­nya selamat, malah meningkatkan ekonomi negara, selain dapat me­ngatasi kemiskinan," katanya.

Sementara itu, Balasubramaniam berkata, ahli Global ICA sememangnya gembira untuk bertemu Angkasa kerana banyak negara di bawah Global ICA dan Asia Pasifik berminat untuk mempelajari sistem perbankan Islam yang telah diperluaskan di Malaysia.

“Tidak dinafikan banyak negara luar melihat sistem perbankan Islam itu adalah telus. Malah, Malaysia juga telah mempengaruhi negara-negara Asia Pasifik dalam kejayaan menstabilkan ekonomi terutama dalam menuju tahun 2020." katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment