Murid cedera dilibas guru
Oleh MASZUREEN HADZMAN
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Seorang murid tahun tiga di sebuah sekolah di Bandar Baru Bangi dekat sini cedera selepas dilibas menggunakan jam dinding oleh gurunya di sekolah itu kelmarin.
Akibat dilibas dua kali, mangsa, Nurul Eemah Batrista Mohd. Najib, 9, yang baru sahaja menjalani pembedahan mata pada Jun tahun lalu, cedera pada bahagian muka dan bawah mata.
Kejadian dikatakan bermula apabila mangsa yang mengalami sakit perut terlambat memasuki kelas matematik yang diajar oleh guru terbabit.
Bapa mangsa, Mohd. Najib Johari, 35, mendakwa, anak perempuannya yang baru selesai solat Asar di surau sekolah terus ke tandas akibat mengalami sakit perut.
Sebaik sahaja memasuki kelas, guru tersebut yang menunggu anak saya di hadapan pintu kelas terus membawanya ke tandas lelaki lalu melibasnya menggunakan jam dinding yang dibawa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dakwa Mohd. Najib, sebaik sahaja anaknya pulang ke rumah, mangsa yang mengalami kesakitan akibat dilibas terus mengadu kepadanya mengenai kejadian itu.
Katanya, dia dan isteri terus membawa Nurul Eemah Batrista ke Hospital Serdang untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut sebelum membuat laporan polis di pondok polis di situ.
Berikutan kejadian itu katanya, anaknya trauma untuk kembali ke sekolah selain masih mengalami kesakitan akibat dilibas menggunakan jam dinding.
Saya kesal dengan tindakan guru terbabit yang bertindak sedemikian tanpa usul periksa sehingga menyebabkan anak saya mengalami kecederaan dan ketakutan.
Saya tak kisah kalau guru nak tegur atau ajar anak saya tetapi jangan sampai mencederakan," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment