My Add

Saturday, 3 May 2014

Pas perlu beri jawapan konkrit - Zahid

 * AHMAD Zahid Hamidi menunjukkan teks penuh kenyataan beliau berhubung pelaksanaan hudud oleh Kerajaan Pas Kelantan dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 2 Mei, 2014: Pas digesa memberikan jawapan yang konkrit terhadap cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, sama ada benar-benar berlandaskan hukum Islam sepenuhnya atau sekadar mahu meraih sokongan politik.

Penegasan itu disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut meminta kejujuran Pas menjawab kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa parti tersebut mengambil inisiatif melaksanakan hudud bagi mengelakkan kehilangan sokongan Melayu.

“Kenyataan Teresa pada 29 April lalu seperti disiarkan portal Malaysiakini menjelaskan seperti ‘ada udang di sebalik batu'. Kita mahu bertanya Pas, adakah mereka benar-benar ikhlas dalam niat melaksanakan hudud ini? Jika benar apa yang dinyatakan Teresa bahawa hudud ini untuk memerangkap UMNO dan mencapai tujuan politik Pas, tentunya hukum ini yang bakal dilaksanakan dan hajat mendapatkan sokongan UMNO merupakan taktik politik yang harus dinilai semula oleh umat Islam.

“Kita lihat cadangan Pas ini tak mendapat sokongan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Walaupun ada pimpinan PKR Melayu dan Islam, mereka sendiri tak sokong hudud. Ertinya ada penentangan daripada dalam (pakatan pembangkang),'' katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut laporan Malaysiakini, Teresa yang hadir dalam satu pertemuan bersama kerajaan Pas Kelantan mendakwa pemimpin Pas menjelaskan kesukaran dalam berdepan dengan masyarakat kampung Melayu kerana UMNO menguar-uarkan dak­waan mereka dikawal DAP, sekali gus tidak boleh berdiam diri setelah mene­rima cabaran yang diberikan UMNO berhubung isu hudud.

“Jika tidak respon dalam keadaan ini, lebih banyak sokongan Melayu akan hilang,'' kata Teresa.

Ahmad Zahid berkata, susulan kenyataan Teresa itu, UMNO akan mengkaji semua kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas tentang maksud tersurat dan tersirat tujuan pelaksanaan hudud tersebut.

Berhubung cadangan pelaksanaan hudud, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan UMNO tidak pernah menolak hukum tersebut, malah parti itu memberi dukungan kepada cadangan melaksanakannya yang merupakan hukum qat'ie (yang tidak boleh dipertikaikan), selagi berlandaskan hukum Islam sepenuhnya, berdasarkan kepada al-Quran dan hadis, ijmak ulama dan kias.

“UMNO tetap konsisten dengan pendirian perjuangan Islam, bukan sahaja terhadap hukum jenayah Islam tetapi maslahat Islam itu sendiri yang bersandarkan kepada ‘Maqasid al-Syariah'. Kepada Pas, hudud ini bukan (sekadar) satu aspek sahaja. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment