My Add

Thursday, 1 May 2014

Pasar raya asing bawa impak positif

KUALA LUMPUR, RABU, 30 April, 2014: Kemasukan pasar raya asing ke negara ini perlu dilihat dari aspek positif terhadap perkembangan ekonomi negara khususnya dalam mewujudkan persaingan sihat dan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, ia juga me­ningkatkan pelaburan asing ke dalam negara selain membantu memasarkan dan mempromosi produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan dan Felda di rangkaian pasar raya asing di luar negara.

Walau bagaimanapun jelasnya, kerajaan sentiasa mengawal selia pembukaan pasar raya atau gedung asing berdasarkan garis panduan penyertaan dalam Perdagangan Pengedaran Sektor Perkhidmatan (Pindaan) 2010.

"Setiap permohonan yang diterima akan dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Pengedaran Induk. Pemohon juga perlu melaksanakan proses pandangan awam dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi setiap cadangan lokasi pembukaan pasar raya asing," katanya dalam sidang Dewan Negara.

Menurut beliau, pembukaan itu tidak akan dipertimbangkan jika tidak mendapat sokongan PBT, mendapat bantahan penduduk atau Laporan Kajian Impak tidak menyokong cadangan pembukaannya.

Dalam perkembangan lain, jelasnya, sehingga hari ini, sebanyak 717 buah francais telah berdaftar di bawah kementerian dengan 202 buah daripadanya bertaraf bumiputera yang terlibat sebagai francaisor.

"Bagi meningkatkan penyertaan rakyat tempatan dalam industri francais terutamanya bumiputera, kementerian dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia akan mengadakan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia pada Jun ini.

"Kita yakin ini mampu membuka pelbagai peluang perniagaan yang boleh diceburi rakyat," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment