My Add

Friday, 2 May 2014

Pasukan siasatan antarabangsa tentukan tindakan betul atau tidak

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014; Pasukan Penyiasat Antarabangsa akan menentukan sama ada tindakan awal pihak berkuasa Malaysia mengaktifkan pusat operasi selepas empat jam pesawat MH370 hilang adalah betul atau tidak.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, tindakan awal berkenaan bergantung kepada keadaan semasa dan akan ditentukan oleh pasukan penyiasatan yang terdiri daripada pakar-pakar dunia.

"Dalam konteks sama ada empat jam lama atau tidak, ini bukan untuk kita membincangkan secara umum dan menentukannya kerana saya dimaklumkan dalam penerbangan Air France tindakan diambil enam jam atau tujuh jam.

"Jadi penanda aras untuk tindakan berbeza banyak bergantung kepada keadaan semasa. dan kalau kita nak membincangkan dalam media semua ada pandangan masing-masing.

"Biarlah badan bebas ini mengkaji dan meneliti kerana dalam insiden MH370 dengan Air France sahaja, kita tengok tindakan dalam Air France itu masanya jauh lebih lama daripada tindakan kita," jelas Hishammuddin dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar pada hari ke-53 kehilangan MH370 itu, Hishammuddin berkata, tindakan lanjut akan diambil sebaik sahaja mendapat laporan daripada badan bebas berkenaan.

Panel Penyiasatan Antarabangsa yang ditubuhkan kerajaan itu turut dianggotai pakar-pakar dunia diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Kok Soo Chon.

Sementara itu, Hishammuddin menjelaskan, laporan awal MH370 hanya sepanjang lima muka surat berbanding laporan insiden kemalangan melibatkan Air France setebal 120 muka surat kerana Air France dapat dikesan lebih awal berbanding MH370 yang telah hilang sejak 56 hari lalu.

"Kalau ada maklumat tambahan memang laporan akan lebih tebal. Dalam kes kita ini adalah luar biasa sehingga kini tidak dijumpai.

"Tetapi ini tidak bermakna kita tidak mengikuti segala petunjuk yang diberikan kepada kita," tegasnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment