Monday, 26 May 2014

Pelabuhan, jeti nelayan lokasi strategik

Oleh MOHD.SHARIZA ABDULLAH
 *TIGA warga Bangladesh yang terlibat dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi mengisi bahan bakar itu ke dalam tangki di Telok Gong, Klang , Selangor, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
KLANG, AHAD 25 Mei, 2014: Terminal laut seperti pelabuhan, jeti nelayan dan persendirian menjadi lokasi strategik sindiket untuk menyeleweng diesel subsidi berikutan permintaan tinggi daripada bot serta kapal.

Utusan Malaysia yang menyertai operasi pemantauan sebuah agensi penguat kuasa di sekitar Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini hari ini dibawa ke tiga lokasi yang disyaki terlibat dengan kegiatan berkenaan.

Menerusi jalan laut, Utusan Malaysia dibawa menaiki bot sehingga kira-kira 30 batu nautika daripada jeti Kampung Nelayan Telok Gong sebelum menemukan sebuah ‘rumah’ memancing yang dipercayai digunakan sebagai pusat pengum­pulan diesel.

Menurut sumber agensi penguat kuasa yang turut menyertai pemantauan itu, pemiliknya berselindung di sebalik ‘rumah’ memancing ikan itu tetapi menjalankan kegiatan mengumpul diesel bersubsidi secara haram untuk dijual kepada pihak ketiga.

“Lazimnya bot atau kapal yang ingin belayar membeli diesel di situ. Aktiviti itu tidak sepatutnya berlaku kerana diesel hanya boleh dibeli oleh kapal-kapal di tempat berlesen," katanya.

Sumber berkenaan kemudian menunjukkan satu lokasi tidak jauh dari situ yang menjalankan perniagaan membuat dan membaiki kapal tetapi pada masa sama dipercayai menjadi pusat pengum­pulan diesel bersubsidi haram.

Menurutnya, lori bonded (lori gudang) yang membeli diesel di stesen minyak berhampiran menghantar bahan bakar itu ke kawasan berkenaan sebelum dijual kepada pihak ketiga.

“Ada ketika deretan lori bonded dapat dilihat sedang beratur me­nunggu giliran untuk mengepam diesel ke pusat pengumpulan itu.

“Aktiviti ini secara terang-tera­ngan bersalahan dengan undang-undang kerana pemindahan diesel di pelabuhan atau jeti hanya boleh dilakukan oleh lori tangki," jelas sumber tersebut.

Katanya lagi, terdapat juga sin­diket menggunakan tangki mengi­si minyak kelapa sawit untuk menyeleweng diesel bersubsidi kera­na muatannya lebih besar daripada tangki biasa sekali gus mendapat keuntungan berganda.

Sumber itu memberitahu, bagi mengaburi mata pihak berkuasa, ada sindiket menukar cat badan tangki minyak kelapa sawit yang biasanya berwarna jingga.

Sementara itu, selepas hampir dua jam berada di laut, Utusan Malaysia dibawa mengikuti pemantauan agensi pihak berkuasa itu menggunakan jalan darat ke sebuah syarikat yang berselindung dengan perniagaan menjual kayu bakau tetapi rupa-rupanya menjalankan kegiatan me­ngumpul diesel bersubsidi dengan mengupah warga Bangladesh.

Menurut sumber, warga Bangladesh itu diupah oleh pemilik kawasan berkenaan untuk menguruskan akti­viti penyelewengan minyak bersubsidi termasuk mengepam bahan bakar itu ke dalam tangki setiap kali penghantaran dilakukan, sebagaimana dilaporkan akhbar ini baru-baru ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment