Friday, 2 May 2014

Polis berjaya kawal situasi

 Mohmad Salleh
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Polis berjaya mengawal Himpunan 1 Mei daripada sebarang kekecohan yang ingin dicetuskan peserta perhimpunan terbabit di sekitar lokasi di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, ketika penganjuran itu, tiada sebarang insiden yang boleh mencetuskan ketegangan serius atau mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat beberapa insiden kecil yang jika tidak dikawal mampu mencetuskan suasana yang memudaratkan.

"Ada juga berlaku insiden kecil seperti tolak-menolak di antara peserta, namun keadaan masih terkawal.

"Sehingga pukul 5 petang, keadaan di ibu negara masih berada dalam keadaan terkawal walaupun terdapat beberapa lokasi yang telah dipenuhi oleh peserta," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam perkembangan sama, Mohmad turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mengamalkan sikap tolensi dan bekerjasama sepanjang perhimpunan berlangsung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan tiada kejadian seorang peserta perhimpunan 1 Mei bantah GST mati ditikam seperti disebarkan dalam media sosial.

Beliau berkata, foto yang disebarkan itu adalah kejadian lama dan tiada kaitan dengan perhimpunan terbabit.

"Kira-kira 15,000 peserta berhimpun di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad jam 2 petang sebelum bersurai tiga jam kemudian," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment