My Add

Saturday, 3 May 2014

Rangka SOP tubuh taska 24 jam

Oleh Farhana Joni

KUCHING, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi menubuhkan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) 24 jam.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, SOP itu akan diguna pakai bagi membantu golong­an profesional wanita seperti doktor, jururawat dan individu yang bekerja mengikut syif.

“Kerajaan melihat SOP ini perlu dilaksanakan selepas menerima cadangan daripada seorang doktor wanita yang memberitahu tempoh dan waktu bekerja mereka yang tidak fleksibel.

“Ini merupakan usaha kerajaan untuk membantu golongan wanita yang bekerjaya supaya mereka boleh menjalankan tugas dengan baik dan sempurna tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kelab Soroptimist South West Pacific 2014 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kelab Soroptimist South West Pacific, Puan Sri Siew Yong Gnanalingam.

Mengulas lanjut, Rohani berkata, terdapat sebuah hospital di negara ini menyediakan perkhidmatan taska 24 jam dan beliau akan menghantar pegawai daripada kementeriannya untuk melakukan rujukan di situ.

Katanya, antara aspek yang perlu diteliti dalam merangka SOP itu adalah tempoh dan jadual kakitangan akan bekerja di taska selain beberapa kriteria lain.

Dalam perkembangan lain, Rohani berkata, beliau turut menggalakkan usahawan tempatan mewujudkan perkhidmatan pembantu rumah bergerak di bawah Program Francais Mikro bagi meringankan tugas wanita bekerjaya.

Menurutnya, perkhidmatan pembantu rumah bergerak itu akan menjalankan kerja-kerja mengemas rumah mengikut kadar jam dalam tempoh beberapa kali sebulan.

Beliau yakin menerusi perkhidmatan itu dapat membantu kerajaan

mencapai sasaran meningkatkan bilangan wanita untuk terlibat dalam bidang pekerjaan sebanyak 55 peratus pada tahun depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment