Saturday, 3 May 2014

Remaja dirayu pulang

 SITI NUR IJIAHATUL
KUCHING, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Sepasang suami isteri tidak dapat tidur lena, sejak Ahad lalu kerana terlalu bimbang terhadap keselamatan anak gadis mereka berusia 16 tahun yang menghilangkan diri dari rumah di Taman Malihah, Fasa 2, Jalan Matang-Batu Kawa di sini.

Pemilik gerai makanan, Abdul Rahman Saidi, 40, memberitahu, semasa pulang ke rumah selepas membeli barangan keperluan harian pada Ahad lalu, dia bersama isteri, Supindawati Aksah, 36, terkejut dimaklumkan oleh ibunya bahawa anak sulung mereka, Siti Nur Ijiahatul Syafiqah telah keluar tanpa pengetahuan.

Katanya, seorang jiran kemudian memaklumkan ada ternampak seorang lelaki memandu kereta Proton Wira telah mengambil anaknya itu di hadapan rumah kira-kira pukul 4.15 petang.

“Kami amat risau apabila Siti Nur Ijiahatul Syafiqah tidak menghubungi kami dan gagal dikesan sehingga pukul 10 malam lalu membuat laporan di Balai Polis Gita pada hari sama.

“Dia keluar sehelai sepinggang tanpa membawa pakaian dan kad pengenalan malah tidak mempunyai telefon bimbit menyebabkan kami sukar menghubunginya," kata Abdul Rahman ketika ditemui di pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, anaknya itu juga didapati tidak hadir ke sekolah dan gagal dihubungi sejak menghilangkan diri.

Katanya, dia berasa hairan kerana sebelum ini, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan hanya keluar rumah dengan ditemani ibu bapa atau adiknya.

“Kami bertambah bimbang kerana pihak polis yang menyemak nombor pendaftaran kereta Proton Wira dipandu oleh lelaki yang membawa anaknya mendapati nombor kenderaan berkenaan adalah palsu.

“Jika ada individu yang melihat atau mengetahui di mana anak saya berada, hubungilah kami untuk memberi maklumat," katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Abdul Rahman menerusi 011-37204720. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment