Saturday, 3 May 2014

Tiada apa ditemui di Teluk Benggala - JACC

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Tiada apa yang ditemui di Teluk Benggala berhubung laporan syarikat pencarian yang berpangkalan di Adelaide, Australia yang percaya mereka mungkin telah mengesan serpihan pesawat MH370.

Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston berkata, ketika ini tiga kapal tentera laut Bangladesh sedang memantau kawasan itu dengan sebuah daripadanya dilengkapi keupayaan mengesan bunyi gema.

Beliau bagaimanapun yakin pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi merupakan keputusan yang betul.

“Saya yakin dengan semua bukti yang ada di hadapan kami, usaha gigih yang pasukan sedunia temui, analisis handshake manual antara pesawat dan satelit serta kerja stimulasi yang dilakukan bagi mendefinisi kawasan di selatan Lautan Hindi, saya yakin kawasan berkenaan di selatan Lautan Hindi merupakan tempat pencarian yang betul.

“Saya pasti masanya akan tiba kami akan menemui pesawat di kawasan itu di Lautan Hindi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Penasihat Khas kepada Biro Penyiasatan Penerbangan Perancis, Jean Paul Troadec di sebuah hotel di sini hari ini.

Ketiga-tiga mereka sebelum itu mengadakan mesyuarat khas bersama jawatankuasa tiga kementerian yang ditubuh kerajaan berhubung kejadian kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu.

Houston ditanya mengenai laporan sebuah syarikat penerokaan maritim Australia, GeoResonance yang mendakwa menemui bangkai pesawat di Teluk Benggala iaitu 5,000 kilometer dari lokasi pencarian di Lautan Hindi.

Menurutnya, sehingga kini belum ada apa-apa pengesahan mengenai MH370 selepas kapal tentera laut Bangladesh melakukan operasi di kawasan berkenaan.

Sementara itu katanya, JACC tetap meneruskan komitmen mencari pesawat MH370 tanpa henti sehingga pesawat dikesan.

“Kami komited sebagai tiga negara untuk mencari MH370 tetapi seperti dikatakan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott bahawa pencarian mungkin mengambil masa antara lapan hingga 12 bulan kerana kami menghadapi masalah cuaca buruk dan pelbagai isu lain.

“Mesyuarat antara Hishammuddin dan Abbot di Canberra Ahad ini sangat penting untuk mengukukuhkan langkah ke depan bagi memastikan pencarian diteruskan dengan segera tanpa berhenti di mana-mana peringkat," katanya.

Dalam pada itu, Paul Troadec berkata, operasi pencarian MH370 telah menggunakan aset yang tepat.

“Saya lihat kita telah menghantar aset yang tepat dan masih ada harapan untuk menjumpai MH370," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment