My Add

Friday, 2 May 2014

Tidak membuta tuli

Oleh ZAAIN ZIN

 * SEBAHAGIAN daripada orang ramai melafazkan ikrar setia dengan pelaksanaan hukum hudud selepas program ceramah di perkarangan Stadium Muhamad V, Kota Bharu, Kelantan, malam semalam - UTUSAN/IRWAN MAJID
KOTA BHARU, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Individu yang dituduh melakukan kesalahan tidak akan dihukum sewenang-wenangnya mengikut hukum hudud kerana undang-undang Islam itu berpegang kepada konsep burden of proof atau beban membuktikan sebagai teras utama.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (gambar) menegaskan, burden of proof menyebabkan pelbagai syarat wajib dipatuhi sebelum seseorang hakim boleh menjatuhkan hukuman di bawah hudud terhadap tertuduh.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud Kelantan berkata, memandangkan hukuman berat tidak semestinya dijalankan, hudud boleh diibaratkan sekadar simbolik bagi memberi pengajaran supaya penjenayah atau individu yang berniat melakukan jenayah berasa gerun.

"Hudud bunyinya keras kerana ada hukuman rejam dengan batu, sebat 100 kali serta potong tangan namun kalau kita mendalami dengan baik, bukan senang hendak sampai ke situ (menjatuhkan hukuman).

"Jika undang-undang biasa kata beyond reasonable doubt (melangkaui keraguan munasabah), dalam Islam pula kita guna absolute certainty (kepastian yang mutlak).

"Sebagai contoh, syarat untuk membolehkan hukuman sebat bagi kesalahan zina mesti ada empat saksi, namun zaman sekarang ini di mana mahu cari empat orang saksi cukup syarat? Hampir mustahil," katanya dalam program Ceramah Umum Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di sini malam tadi.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Hassan Mahmood; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Fadzli Hassan serta Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, Vincent Lee.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar memberitahu, pada zaman Nabi Muhammad SAW, semua hukuman berat seperti rejam dan sebat kepada penzina dijatuhkan bukan kerana atas tuduhan sebaliknya pesalah sendiri berjumpa baginda untuk membuat pengakuan dan minta dihukum.

"Hukuman potong tangan pun sama, bukan boleh buat sebarangan, ada lebih 20 syarat dinyatakan namun yang utama antaranya adalah mesti melibatkan kecurian barangan berharga, barang tersebut disimpan di tempat sepatutnya serta jenayah dilakukan bukan atas sebab desakan hidup.

"Kita kena faham, bukan semua kesalahan kena hukum hudud, kalau tidak cukup syarat, kesalahan itu mungkin jatuh dalam hukum takzir," katanya.

Mohd. Amar dalam pada itu memberitahu, hukum hudud yang ingin dilaksanakan di negeri itu tertakluk kepada orang Islam sahaja kerana Pas mengambil kira pelbagai aspek terutama situasi semasa negara.

"Dalam kitab sebenarnya ada dua pandangan mengenai hudud, satu pelaksanaan meliputi semua iaitu orang Islam dan bukan Islam manakala satu lagi kepada orang Islam sahaja. Dengan suasana negara hari ini, kita berpendapat, adalah lebih praktikal laksanakan hudud kepada orang Islam sahaja," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa hudud menyebabkan wujud penganiayaan terhadap golongan tertentu seperti wanita mangsa rogol yang bukan sahaja tidak mendapat pembelaan malah mungkin dituduh berzina.

"Kalau dia tak dapat kemukakan empat orang saksi, dia masih boleh guna kaedah circumstancial of evidence iaitu boleh jumpa doktor untuk periksa kesan rogol, trauma dan sebagainya. Jika ada, mahkamah kena lepas wanita ini daripada tuduhan zina dan perogol pula memang tidak akan terlepas daripada hukuman.

"Masalah sekarang ini, orang yang mengkritik hudud ini dia tidak tahu apa-apa, umpama orang dengar nama kuih tahi itik, dengar nama dia terus tak mahu makan. Padahal dia tak pernah makan lagi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment