Saturday, 3 May 2014

Tindakan penganjur perhimpunan jejas imej negara dikutuk

 Keratan akhbar Utusan Malaysia, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Wilayah Persekutuan mengutuk keras tindakan pihak yang menganjur perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semalam yang disifatkan telah menjejaskan imej negara.

Yang Dipertua Perkasa Wilayah Persekutuan, Datuk Yusoff Abd. Hamid berkata, lebih dikesali apabila ada segelintir masyarakat yang terpedaya menyertai perhimpunan itu dengan membawa anak-anak kecil bersama-sama mereka.

“Jelas mereka menjadikan kanak-kanak sebagai perisai semasa perhimpunan yang terbukti ada dalam kalangan mereka yang telah bertindak melampaui batas. Kita turut menggesa agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap mereka yang telah mencetuskan kekecohan sehingga berlakunya perbuatan kasar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perhimpunan membantah pelaksanaan GST anjuran pakatan pembangkang di Dataran Merdeka semalam bukan sahaja gagal mencapai matlamat utamanya untuk menarik ratusan ribu orang, malah dijadikan medan oleh pemimpin pembangkang melemparkan dakyah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Seperti perhimpunan pembangkang sebelum ini, kali ini turut menyaksikan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman apabila ada peserta membawa kanak-kanak ke perhimpunan hari ini.

Yusoff berkata, kejadian itu seharusnya membuka mata semua pihak agar tidak mudah tertipu dengan dakyah pembangkang demi kepentingan mereka sendiri dengan cara mempergunakan rakyat.

Katanya, perhimpunan seperti itu tidak mendatangkan faedah sedikit pun kepada semua pihak terutama rakyat, sebaliknya apa yang dilaksanakan kerajaan iaitu GST sebenarnya lebih memberi kebaikan tanpa disedari mereka.

“Bukan setakat merosakkan imej negara, malah banyak aktiviti di ibu negara terjejas terutama pelancong dan peniaga. Jadi memang jelas perhimpunan seperti ini membuang masa, tenaga dan merosakkan imej negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment