My Add

Friday, 2 May 2014

TPPA: Dapatkan pandangan Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan mengambil kira pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar Malaysia tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, kerajaan tidak perlu terburu-buru dalam menandatangani perjanjian perdagangan bebas itu.

"Kerajaan seharusnya beri perhatian kepada kritikan dan pandangan Dr. Mahathir dalam isu TPPA. Jika mahu dengar pandangan 100 penasihat lain berstatus pakar sekali pun, kerajaan perlu ambil serius pandangan Dr. Mahathir juga.

"Kerajaan juga perlu peka dengan pandangan pakar-pakar ekonomi dalam negara yang telah membuat banyak kenyataan negatif terhadap TPPA," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Dr. Mahathir menyatakan kebimbangan Malaysia akan mengalami kerugian jika mengambil keputusan menandatangani TPPA kerana hanya sedikit manfaat diperoleh negara.

Menurut Syed Hassan, kerajaan perlu membuat pertimbangan sedalam-dalamnya mengenai TPPA kerana negara bukan hanya kepunyaan pemimpin politik, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

"Tanah air ini tidak mungkin boleh dialih dan dipindahkan ke kawasan lain dalam dunia ini, tetapi hasil buminya boleh dipindahkan dengan mudah jika tidak berhati-hati membuat keputusan," katanya.

Sehubungan itu, kata Syed Hassan, kerajaan perlu mendapatkan pandangan lebih jelas daripada Dr. Mahathir dan juga pakar-pakar dalam negara yang lebih arif mengendalikan perkara tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment