TTPA: Wakil BN, pembangkang sepakat
KOTA BHARU, AHAD 25 Mei, 2014: Kaukus Parlimen Mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang turut dianggotai wakil pembangkang sepakat dalam memberi pelbagai input untuk dimanfaatkan oleh kerajaan ketika terlibat dengan rundingan berkaitan perjanjian tersebut.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya amat menghargai pandangan serta teguran anggota kaukus khas tersebut yang terdiri daripada enam Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta lima Ahli Parlimen pembangkang.
Malah, katanya, kaukus berkenaan secara tidak langsung membuka lembaran baharu kerana Ahli-ahli Parlimen BN serta pembangkang berjaya mencari kesepakatan demi memperjuangkan kepentingan negara.
Ini (penyertaan pembangkang) tidak pernah berlaku dalam sejarah kerana mengikut peraturannya, kita tidak perlu buat begitu. Namun oleh kerana perkara ini kontroversi, maka kita tubuhkan dan kini kita dapat lihat sumbangan positif daripada kedua-dua belah pihak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat dalam program Sesi Konsultasi TTPA Bersama Agensi Kerajaan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Menurut Mustapa, kewujudan kaukus tersebut juga membolehkan beliau bertemu Ahli Parlimen untuk memberi penjelasan mengenai hasil rundingan tanpa perlu melalui pihak ketiga, sekali gus menunjukkan kerajaan tidak mengambil ringan pandangan semua pihak. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment