Wednesday, 1 May 2013

Lagi pemimpin DAP gesa pengundi tolak Pas

 G. Asoghan
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Lebih ramai pemimpin DAP kini semakin 'berani' tampil menggesa pengundi menolak Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan kedegilan parti itu mahu mewujudkan negara Islam.

Ketua Cawangan DAP Bagan Luar, G. Asoghan berkata, Pas tidak sensitif terhadap penolakan bukan Islam yang 'bermati-matian' menentang agenda penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Menurut beliau, sejak Mac 2008, Pas juga membawa banyak polisi bertentangan dengan hak masyarakat bukan Islam di Kelantan, Kedah dan Selangor seperti mengehadkan lesen menjual arak, menentang pembinaan panggung wayang dan orang bukan Islam yang berdua-duaan disaman atas tuduhan berkhalwat.

"Semua dasar ini menyebabkan kami hilang keyakinan dengan Pas, malah pemimpin-pemimpin cawangan DAP seluruh Pulau Pinang berikrar menolak Pas dalam pilihan raya umum kali ini.

"Sehubungan itu, saya mohon semua pengundi bukan Islam di seluruh negara tidak mengundi mana-mana calon Pas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas gesaan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez supaya rakyat negeri itu khususnya pengundi bukan Islam menolak Pas memandangkan mereka dilihat tidak konsisten dalam pendirian melaksanakan hukum hudud.

Dalam pada itu, Asoghan yang bertanding atas tiket Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam berkata, beliau kecewa dengan sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan 'talam dua muka' kerana tidak pernah konsisten dengan pelaksanaan hukum hudud.

"Gesaan Norman dan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Anwar menyatakan pendirian terhadap hukum hudud dan penubuhan negara Islam adalah satu tindakan betul.

"Malaysia sebuah negara sekular yang ada undang-undang sivil di bawah Perlembagaan Persekutuan dan hukum hudud tidak disebut dalam Perlembagaan. Kita tidak patut mempunyai 'ideologi' berbeza dalam pakatan pembangkang jika mahu tawan Putrajaya," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa DAP Kedah, S. Neelamekan turut menggesa pengundi bukan Islam menolak Pas sehingga parti tersebut menyatakan pendirian menggugurkan hasrat mewujudkan negara Islam.

Jelasnya, sikap Pas yang begitu konsisten mahukan pentadbiran Islam tidak memberi kelebihan kepada pakatan pembangkang dan harus dihentikan segera.

"Pendirian Pas melaksanakan hukum hudud adalah sungguh 'menyakitkan' dan tidak seharusnya disokong.

"Walaupun kami bekerjasama dengan Pas dan mempunyai impian menubuhkan kerajaan baharu, namun saya tidak akan sesekali mengundi 'calon Pas'," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment