SHAH ALAM, RABU, 29 Mei, 2013 Bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Peguam bela, Pushpa Ratnam ketika dihubungi berkata, notis rayuan bagi tiga tertuduh iaitu Pathmanabhan, 43, T. Thilaiyalagan, 21, dan R. Matan, 22, difailkan oleh pihaknya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Pushpa dan peguam Manjeet Singh Dhillon mewakili Pathmanabhan manakala Thilaiyalagan diwakili oleh Gurbachan Singh dan Matan oleh Amer Hamzah Arshad.
Sementara itu, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili tertuduh keempat, R. Kathavarayan, 33, memfailkan notis tersebut hari ini.
Rayuan tersebut difailkan setelah keempat-empat lelaki itu tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Akhtar Tahir pada 23 Mei lalu yang menjatuhkan hukuman gantung setelah mensabitkan kesalahan itu terhadap kesemua mereka.
Mereka didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.
Keempat-empat mangsa itu didakwa dibunuh di antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini.
Hakim Akhtar memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani, Ishak Mohd. Yusoff dan Saiful Edris Zainuddin. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment