Presiden Pertubuhan Muafakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad (gambar) berkata, meskipun kononnya lima peratus, namun itu adalah prinsip asas Pas dan telah diperjuangkan parti tersebut lebih dua dekad lalu.
"Perbezaan ini sudah cukup untuk dijadikan sebab mereka tidak bersama DAP. Pada saya, perjuangan kebebasan bukanlah perjuangan asas Pas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan terdesak paling baharu kedua-dua parti yang mengeluarkan kenyataan bersama dipercayai bagi meredakan kemarahan dan perasaan syak wasangka dalam kalangan ahli mereka.
Kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menyebut, kedua-dua parti itu kononnya berkongsi 95 peratus dasar perjuangan yang sama iaitu menegakkan kebebasan, keadilan, kebenaran, integriti dan demokrasi untuk semua.
Namun, kedua-dua pemimpin pembangkang itu tidak menyebut tentang baki perbezaan lima peratus antara kedua-dua parti yang dipercayai berkisar kepada agenda menegakkan negara Islam Pas termasuk pelaksanaan hukum hudud parti tersebut.
Jelas Ismail Mina, Pas yang dahulunya memperjuangkan agama, bangsa dan negara perlu melihat bukti kegagalan pakatan pembangkang mempertahankan nasib kaum Melayu seperti yang berlaku di Selangor.
Kata tokoh agama itu, pembinaan projek Datum Jelatek di sini sudah cukup menunjukkan polisi pembangkang bukan berpaksikan kebajikan tetapi sebaliknya untuk kepentingan diri masing-masing.
"Pada saya, kenyataan Guan Eng dan Abdul Hadi hanya menunjukkan mereka terdesak untuk meredakan kemarahan ahli. Mereka terpaksa berbohong demi kepentingan bersama," ujarnya.
Perkara sama ditekankan Presiden Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukhuwah Ummah (Pro-Muslim), Mansoor Ahmad yang melihat kenyataan kedua-dua parti itu sebagai satu pembohongan.
Menurutnya, tiada perkara pasti dalam pembangkang yang dapat menjamin keutuhan akidah umat Islam di negara ini berbanding Barisan Nasional (BN).
"Mereka berkiblatkan Putrajaya, jadi, apa lagi mereka mahu perjuangkan terhadap Islam? Itulah matlamat mereka kini," tegasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment