Thursday, 30 May 2013

SPAD terima anugerah di Geneva

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menerima anugerah Komitmen Politik Asia Pasifik pada Kongres Dunia Persatuan bagi Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP) 2013 yang berlangsung di Geneva semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPAD berkata, anugerah itu diberi sebagai mengiktiraf kerja keras SPAD untuk menyediakan dan melaksanakan projek pengangkutan awam penting yang baru bagi Malaysia di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Ia misalnya MRT, perkhidmatan bas GO-KL dalam lingkungan Daerah Pusat Perniagaan KL (CBD), Sistem Perkhidmatan Teksi 2-Tier KLIA, Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) di samping Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF)," menurut kenyataan itu.

Anugerah itu diterima Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Kamal.
Kongres dunia UITP diadakan setiap dua tahun dan dianjurkan oleh UITP, yang beribu pejabat di Brussels.

Ia adalah mesyuarat antarabangsa yang dihadiri semua pemegang kepentingan pengangkutan awam, termasuk kerajaan, badan kawal selia, perancang, pengusaha, institut saintifik, vendor dan penyedia teknologi.

Pada kongres Dunia juga Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar menjadi perantara sesi yang membincangkan cabaran dalam mengakses pembiayaan bagi projek dan infrastruktur pengangkutan awam, manakala Mohd Nur mengetuai perbincangan dengan agensi pengelola pengangkutan awam dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Utara dan Australasia. 

"Ketua Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPAD Dr Prodyut Dutt, turut membentangkan kertas kerja yang memperincikan kemajuan Malaysia dalam industri pengangkutan awam," jelas kenyataan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment