Friday, 28 June 2013

Penggantungan import 23 produk makanan Taiwan ditarik balik 

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Kementerian Kesihatan akan menarik balik penggantungan import ke atas 23 produk makanan keluaran beberapa syarikat Taiwan yang dilapor tercemar dengan asid maleik, berkuat kuasa Isnin ini.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman berkata, bagaimanapun, pengimport masih perlu mengemukakan sijil analisis daripada makmal yang diiktiraf oleh Food and Drug Administration (FDA) Taiwan yang mengesahkan produk itu bebas daripada asid tersebut.

"Pihak FDA Taiwan telah mengambil tindakan menarik balik dan melupuskan semua produk makanan yang tercemar dengan asid maleik dari pasaran Taiwan.

"Di samping itu, semua pembekal makanan berasaskan kanji dari Taiwan perlu mengemukakan surat akuan atau sijil analisis kepada penjual produk makanan keluaran syarikat mereka yang mengesahkan produk makanan itu bebas asid maleik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dengan menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652 atau 03-88833653 atau melayari laman sesawang http://fsq.moh.gov.my. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment