Syarikat Malaysia disiasat terlibat pembakaran hutan
JAKARTA, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Penyiasat Indonesia membuka kes siasatan jenayah ke atas lapan syarikat Asia Tenggara, termasuk tiga syarikat Malaysia, yang disyaki bertanggungjawab ke atas kebakaran hutan yang menyebabkan krisis jerebu di rantau ini.
Ketua Penguatkuasa Kementerian Alam Sekitar, Sudariyono berkata, siasatan awal oleh berpuluh-puluh pegawai di kawasan kejadian di Riau, Sumatera mendapati kebakaran berlaku di ladang milik PT Tunggal Mitra Plantations dan PT Bhumireksa Nusa Sejati.
Menurutnya, kedua-dua syarikat itu milik syarikat Sime Darby Bhd dari Malaysia melalui anak syarikatnya di Indonesia, Minamas Plantation.
Sudariyano berkata, pegawai penyiasat telah melawat syarikat konsesi kelapan-lapan firma tersebut dan menggunakan data GPS untuk mengesan lokasi kebakaran.
"Mereka kini menumpukan kepada syarikat tempatan dan akan meneruskan siasatan kepada rangkaian firma terbabit," ujar Sudariyano.
Kementerian Alam Sekitar Indonesia pada minggu lalu menyenaraikan PT Langgam Inti Hiberida, PT Udaya Loh Dinawi, PT Adei Plantation, PT Jatim Jaya Perkasa, TH Plantations Berhad dan PT Mustika Agro Lestari sebagai syarikat yang bertanggungjawab atas kebakaran hutan di Riau, Sumatera yang menyebabkan krisis jerebu di rantau ini. - REUTERS
No comments:
Post a Comment