Wednesday, 27 November 2013

Akta 709 lindungi pemilik data

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
 * AHMAD Shabery Cheek bersama Abu Hassan Ismail (kiri) menunjukkan logo Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, SELASA, 26 November, 2013: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengumumkan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) untuk melindungi pemilik data telah dikuatkuasakan pada 15 November lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu diambil berdasarkan pencapaian rangka kerja pelaksanaan akta tersebut dan maklum balas yang diterima daripada pihak berkepentingan.

"Dengan berkuat kuasanya Akta 709 ini, bermakna semua golongan pengguna data yang dinyatakan dalam Perintah Golongan Pengguna Data perlu mengambil langkah-langkah perlu untuk mematuhi akta tersebut.

"Langkah ini termasuklah berdaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sekiranya mereka termasuk dan tergolong dalam Perintah Perlindungan Data Peribadi (Golongan Pengguna Data) 2013 yang wajib berdaftar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Abu Hassan Ismail.

Ahmad Shabery berkata, tempoh masa selama tiga bulan bermula tarikh penguatkuasaan diberikan kepada pengguna data untuk membuat pendaftaran.

"Pendaftaran pengguna data terbuka kepada individu atau organisasi yang memproses data peribadi dalam transaksi komersial.

"Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini direkodkan terdapat 25,000 pengguna data yang diklasifikasikan kepada 11 kategori berbeza.

"Melibatkan sektor komunikasi, perbankan dan institusi kewangan, insurans, kesihatan, pelancongan dan hospitaliti, pengangkutan, pendidikan, jualan langsung, perkhidmatan, hartanah dan utiliti," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, fi tahunan untuk pendaftaran individu atau organisasi pengguna data adalah berbeza.

Jelasnya, pengguna data bagi pemilikan tunggal dikenakan fi sebanyak RM100, perkongsian (RM200), syarikat sendirian berhad (RM300) dan syarikat awam berhad (RM400).

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan Ketua Pengarah JPDP sebagai Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi yang pertama di negara ini.

"Sebuah Jawatankuasa Penasihat Perlindungan Data Peribadi akan bertindak menasihati pesuruhjaya, manakala kewujudan Tribunal Rayuan pula bagi memberi ruang untuk merayu terhadap keputusan pesuruhjaya," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia merupakan negara ASEAN pertama yang menguatkuasakan akta tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment