Beri pulangan RM1.48 bilion
KUALA LUMPUR, SELASA, 26 November, 2013: Industri pelancongan kesihatan memberi pulangan sebanyak RM1.48 bilion kepada negara dalam tempoh tiga tahun 2010 hingga 2012.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, pendapatan industri itu adalah sebanyak RM378.7 juta pada tahun 2010, RM511.2 juta (2011) dan RM594 juta untuk 2012.
Pada Januari sehingga Jun 2013 pula, sejumlah RM351.5 juta telah dicatatkan dan sasaran (keseluruhan) untuk 2013 adalah sebanyak RM630 juta.
Ini menunjukkan strategi, promosi dan pemasaran oleh Malaysia Healthcare Travel Malaysia (MHTC) telah membawa hasil dan MHTC akan terus bergiat lebih gigih memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan terunggul," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad (Pas-Pasir Puteh) yang bertanyakan jumlah kedatangan pelancong asing ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan serta jumlah anggaran hasil untuk negara.
Menurut Hilmi, jumlah kedatangan pelancong kesihatan dalam tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2012 adalah 1.64 juta orang iaitu 392,956 orang (2010), 583,296 orang (2011) dan 671,727 orang (2012).
Pada Januari sehingga Jun 2013 pula, sebanyak 401,262 orang telah dicatatkan mendapat rawatan di Malaysia dan jumlah ini dijangka meningkat sehingga Disember 2013," katanya.
Jelas beliau, sebanyak 72 buah hospital dan pusat jagaan kesihatan yang berdaftar di bawah MHTC untuk mempromosikan pelancongan kesihatan di Malaysia.
Kesemua hospital dan pusat jagaan kesihatan ini giat menjalankan aktiviti pemasaran dan juga promosi kepada pelancong kesihatan dengan menyediakan pakej-pakej rawatan yang menarik dengan harga yang berpatutan," katanya.- UTUSAN
No comments:
Post a Comment