Kementerian Pertahanan pandang serius kegiatan pengintipan terhadap Malaysia
KUALA LUMPUR, SELASA, 26 November, 2013: Kementerian Pertahanan memandang serius berhubung dakwaan bahawa Singapura terlibat dalam kegiatan pengintipan terhadap Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, sekiranya benar Singapura melakukan pengintipan ke atas Malaysia, beliau menyifatkannya sebagai satu tindakan serius, tidak beretika dan langsung tidak mengambil kira hubungan keselamatan serta keamanan yang terjalin antara kedua-dua negara.
Malah, beliau turut menyifatkan tindakan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia bagi memberikan penjelasan berhubung dakwaan tersebut adalah tindakan yang tepat.
"Kita juga mempunyai kemampuan sama seperti Singapura untuk melakukan risikan dan pengintipan, namun kita tidak tergamak melakukannya terhadap sahabat serta negara jiran, apatah lagi itu menyentuh soal maruah dan kedaulatan sesebuah negara.
"Kita ada prinsip keikhlasan dan nilai yang boleh dipercayai dalam menjalin, memelihara dan mengukuhkan hubungan sesama jiran juga serantau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin menegaskan, beliau tidak menafikan kemampuan Singapura untuk melakukan risikan serta pengintipan sedemikian rupa dan perkara itu bukan perkara baharu.
Katanya lagi, Kementerian Pertahanan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini berhubung soal keselamatan kepada pucuk pimpinan negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment