Wednesday, 27 November 2013

Malaysia mampu tangani cabaran fenomena GVC - TPM

  1.  *MUHYIDDIN Yassin serta Ahmad Fauzi Puasa (kiri) dan Sulaiman Mahbob menunjukkan buku Malaysian Economy dalam Persidangan Prospek Ekonomi Negara 2014-2015 di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SELASA, 26 November, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia mampu menangani cabaran fenomena rangkaian nilai global (GVC) yang kini menjadi trend terpenting dalam aspek pembangunan ekonomi global.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam usaha menangani cabaran GVC itu, negara perlu menghasilkan lebih banyak komponen produk dan perkhidmatan domestik yang mempunyai nilai tambah tinggi sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara berada pada tahap seterusnya.

Selain itu, jelas Muhyiddin, negara juga perlu mengenal pasti peluang-peluang perdagangan dan memperoleh peserta eksport baharu.

"GVC telah menjadi tren penting secara global sejak dua dekad lalu, namun ia menarik perhatian apabila dibahaskan di peringkat global termasuk diketengahkan dalam Laporan Pelaburan Dunia 2013 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Jun lalu.

"Secara fakta, lebih 50 peratus import pembuatan dunia dan 70 peratus perkhidmatan import dunia adalah barangan dan perkhidmatan pengantara. Ini menjadi bukti kepentingan GVC," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama dalam Persidangan Prospek Ekonomi Negara 2014 - 2015 di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr. Ahmad Fauzi Puasa dan Pengerusi MIER, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob.

Muhyiddin seterusnya berkata, tindakan untuk meraih manfaat daripada GVC adalah bergantung kepada dua faktor iaitu penyertaan dan nilai tambah.

"Sesebuah negara mungkin tidak aktif dalam GVC dan ia mungkin merupakan ekonomi bernilai tambah yang rendah.

"Sebaliknya, sesebuah negara mungkin aktif terlibat dalam GVC dan menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi. Negara yang membuat pilihan kedua berada dalam kedudukan yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, negara juga perlu aktif dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk melakukan inovasi demi pembangunan sains dan teknologi.

Kata beliau, selain inovasi, bidang tersebut diperlukan untuk pengurusan dan sains sosial yang merupakan asas kepada pembangunan sains dan teknologi itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Malaysia telah mencatat kejayaan besar dalam ekonomi sejak Program Transformasi Ekonomi diperkenalkan pada 2010.

"Pertumbuhan KDNK kini lebih kukuh dan stabil, pengangguran dan inflasi kekal rendah dan pelaburan swasta pada paras tertinggi pada 2012.

"Pertumbuhan ekonomi dijangka kekal melepasi 4.5 peratus pada 2013 dan antara 5 dan 5.5 peratus pada 2014, meskipun kedudukan dunia masih lemah,'' katanya. - UTUSAN  

No comments:

Post a Comment