Thursday, 26 December 2013

Cubaan gadis sembunyi kelahiran bayi gagal

MELAKA, RABU, 25 Disember, 2013: Helah seorang gadis cuba menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki di sebuah rumah di Batang Tiga, Tanjung Keling di sini semalam tidak berjaya apabila dia disahkan baharu melahirkan bayi semasa diperiksa doktor.

Bayi malang itu bagaimanapun didapati telah meninggal dunia setelah ditemui polis dibuang berhampiran tandas rumah berkenaan kira-kira pada pukul 1 pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam tersebut, gadis berumur 18 tahun yang juga penuntut di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Alor Gajah itu pada awalnya memberitahu ibu saudaranya dia mengalami buasir setelah berkurung selama lebih satu jam dalam tandas berkenaan.

Ibu saudaranya berumur 60 tahun yang bimbang apabila melihat banyak darah di dalam tandas segera membawa gadis berkenaan ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan gadis itu baharu melahirkan bayi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian terus ke rumah ibu saudara gadis tersebut kira-kira pada pukul 1 pagi untuk mencari bayi berkenaan selepas soal siasat dijalankan.

"Hasil pemeriksaan di sekitar kawasan rumah itu berjaya membawa kepada penemuan bayi lelaki cukup sifat dan masih bertali pusat yang telah meninggal dunia di bahagian luar rumah berhampiran tandas.

"'Siasatan awal polis mendapati, gadis itu mungkin membuang bayi berkenaan melalui ruang antara dinding dan bumbung tandas tersebut," ujarnya ketika dihubungi.

Tambah beliau, mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat sementara gadis itu masih dirawat.

"Polis akan menahan gadis ini selepas dia dibenarkan keluar wad. Setakat ini, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment