Thursday, 2 January 2014

Himpunan haram ganas - Polis

Oleh AZRAI MOHAMMAD

 * ANGGOTA polis terpaksa mendukung kanak-kanak yang terkepung akibat rempuhan peserta Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 01 Januari, 2013: Perhimpunan haram yang kononnya bagi membantah kenaikan harga barang serta didakwa aman oleh penganjurnya disifatkan polis sebagai ganas setelah berlaku elemen provokasi dan rempuhan terhadap pasukan keselamatan di Dataran Merdeka malam tadi.

Ekoran insiden yang mencemarkan sambutan tahun baharu itu, pihak polis menerima lapan laporan polis antaranya mengenai kecederaan dua anggota polis, penemuan senjata tajam, rempuhan terhadap kawalan polis dan perbuatan naik ke pentas utama persembahan pada malam itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh (gambar) berkata, sehubungan itu, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut sekali gus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

"Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur atau mana-mana ahli politik yang terlibat.

"Kami memberi keutamaan dalam siasatan kes ini dan mungkin dalam tempoh seminggu kita akan serah kertas siasatan kepada Peguam Negara," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mohmad berkata, pihaknya mempunyai bukti-bukti bergambar berhubung keganasan perusuh-perusuh perhimpunan itu dan turut menyiasat dakwaan arahan melakukan rempuhan itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata, perbuatan perusuh-perusuh perhimpunan haram berkenaan jelas melanggar undang- undang seperti yang tertakluk dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak meminta kebenaran dari pemilik premis (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

"Polis amat kesal dengan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini kerana telah mengganggu gugat keselamatan serta kemeriahan pengunjung yang ingin menyambut ambang tahun baru," ujarnya.

Kata beliau, antara kes yang dilaporkan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Seksyen, 4 (2)(c) Akta perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan mendatangkan marah yang boleh menyebabkan rusuhan serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment