* MUHYIDDIN Yassin melihat barang-barang yang musnah akibat banjir ketika melawat Sekolah Kebangsaan Tanah Putih Baru di Kuantan, semalam. Turut sama, Zuraidah Atan (kiri). - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN |
Timbalan Perdana Menteri berkata, satu mesyuarat jawatankuasa penyampaian pasukan petugas khas berkaitan kos sara hidup akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji secara holistik dan bagaimana langkah seterusnya dapat diambil bagi menangani masalah tersebut.
"Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk melihat situasi terkini dan mendapat maklum balas lebih terperinci selain keputusan dibuat dalam mengkaji semula beberapa kadar tertentu dan juga kos perlu ditanggung pengguna yang dikenakan oleh sektor awam atau institusi kerajaan lain.
"Bila kita rasionalisasikan subsidi didapati semua mendapat manfaat dan itu tidak adil kepada golongan miskin serta berpendapatan kecil.
"Maka kumpulan itu (golongan miskin dan berpendapatan kecil) harus mendapat bantuan lebih besar (kesan daripada) pengurangan subsidi bagi menampung keperluan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Peralatan Persekolahan oleh Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada sekolah tersebut yang turut terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Muhyiddin berkata, beliau juga akan memanggil menteri dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab termasuk membekalkan utiliti sama ada elektrik, air dan sebagainya serta pihak berkuasa tempatan dalam mengkaji semula cukai dikenakan terhadap pengguna.
"Langkah diambil membuktikan kerajaan prihatin tentang masalah rakyat dan tentu tidak mahu melihat bebanan mereka itu bertambah dengan pihak yang melakukan kenaikan sehingga menimbulkan masalah," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, rakyat seharusnya tidak terpengaruh dengan tindakan sekumpulan individu yang mahu membangkitkan kemarahan rakyat dengan mendakwa kerajaan tidak mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan beban mereka.
"Sedangkan kita telah umumkan beberapa inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan. Saya percaya apabila keadaan ekonomi lebih kukuh dan pendapatan juga dapat ditingkatkan," katanya.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah rakyat dan akan memastikan setiap dasar dan pelaksanaannya tidak menjejaskan kualiti kehidupan rakyat.
Sementara itu, katanya, rakyat mempunyai hak untuk melaporkan mengenai kenaikan harga barang kepada pihak berkuasa jika berlaku.
"Kalau ada pihak mengambil kesempatan untuk naikkan harga barangan kita boleh laporkan kepada pihak seperti Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
"Sebab MyCC ada bidang kuasa agak luas, justeru, rakyat yang juga pengguna boleh laporkan kepada badan ini jika berlaku kenaikan harga," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment