PKR Selangor semakin berpecah - JMM
KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Januari, 2014: Keinginan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar menjadi petunjuk jelas perpecahan dalam parti itu.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, pergolakan itu memperlihatkan wajah sebenar kepimpinan parti tersebut yang mementingkan agenda perebutan kuasa daripada kesejahteraan rakyat.
"Apa yang berlaku ini jelas menunjukkan mereka ini sebuah parti yang tidak stabil dan tidak tahu menghormati ketua malahan sanggup pula menikam rakan sendiri demi kuasa.
"Rakyat Selangor juga perlu buka mata adakah parti itu merupakan pilihan tepat atau satu kesilapan besar. Mereka perlu sedar, bentuk politik sebegini akhirnya akan merugikan rakyat," ujarnya.
Beliau mengulas mengenai pimpinan PKR Selangor yang sebulat suara bersetuju tanpa sebarang bantahan supaya Abdul Khalid meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan perlu digantikan dengan individu lain.
Dalam pada itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, pergolakan tersebut perlu ditangani dengan segera kerana dilihat mampu mengganggu pentadbiran di negeri itu.
"Masalah politik dalaman sebegini sudah lazim berlaku di dalam PKR kerana mereka sebenarnya mempunyai terlalu banyak kumpulan yang berseteru walaupun bernaung di dalam parti yang sama," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment