Wednesday, 1 January 2014

PM ikrar minimum kesan kenaikan kos

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Disember, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berikrar meminimumkan kesan kenaikan kos sara hidup terhadap rakyat.

Ikrar itu disuarakan Perdana Menteri dalam perutusan tahun baharu 2014 dengan penegasan menambah baik program-program kerajaan supaya kesan tersebut khususnya ke atas pendapatan isi rumah tidak terlalu ketara.

Perkara tersebut jelas beliau, termasuk melaksanakan beberapa mekanisme untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik dan tol dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) akan mengemukakan idea baharu bagi merealisasikan tujuan berkenaan.

"Kerajaan akan memastikan kadar kenaikan adalah adil. Sebagai contoh kenaikan harga petrol dan tarif elektrik akan memberi kesan kepada kuasa membeli rakyat. Namun walaupun ada peningkatan, kerajaan masih memberi subsidi petrol dan bil elektrik.

"Kita tidak akan melaksanakan kenaikan kos tanpa memberi bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Sejak minggu lepas, seramai 7.9 juta isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan telah layak untuk memohon pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang terkini," katanya seperti dipetik dalam blognya, www.1Malaysia.com.my hari ini.

Najib dalam pada itu memberitahu, kerajaan tidak akan menandatangani atau menyetujui sebarang pemotongan subsidi termasuk kenaikan-kenaikan kadar tertentu dengan sewenang-wenangnya.

Malah jelas beliau, dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi, kerajaan turut memotong kos perbelanjaan dengan pengumuman 11 langkah penjimatan sektor awam termasuk mengurangkan kos elektrik di setiap jabatan selain komitmen untuk menangani rasuah dan mengurangkan pembaziran.

Menurutnya, program subsidi telah memberi banyak manfaat kepada rakyat selama bertahun-tahun, tetapi seiring dengan pertumbuhan populasi dan pembangunan negara, program tersebut tidak lagi mapan.

"Kini tiba masa untuk kita melangkah ke depan. Kita perlu merasionalkan subsidi dan meletakkan sasaran pemberian kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

"Komitmen kerajaan terhadap perbelanjaan pembangunan juga telah berkembang, dan kita perlu menguruskan kedudukan fiskal untuk memastikan kestabilan ekonomi negara," ujarnya.

Katanya, dalam negara berdepan tahun baharu, ini merupakan masa terbaik untuk semua pihak mengimbas semula perubahan-perubahan yang dilakukan oleh kerajaan itu.

"Ini mungkin tidak popular dalam jangka masa pendek, jadi lebih mudah untuk kita mengekalkan status quo. Rakyat akan berkata terlalu banyak kos meningkat yang mana polisi populis pasti kelihatan lebih menarik. Tetapi kerajaan perlu mengambil tindakan dari sekarang.

"Saya bertekad untuk melakukan perkara yang tepat demi Malaysia dan rakyat, kerana dengan bertindak secara bertanggungjawab dari sekarang, kita akan mengukuhkan ekonomi kita dalam jangka masa panjang dan manfaatnya akan dapat dirasai dengan lebih meluas," katanya.

Menyentuh berhubung rasionalisasi subsidi, tegasnya, dengan cara itu, negara akan dapat mengukuhkan kedudukan fiskal serta membolehkan kerajaan memberi fokus terhadap perbelanjaan kepada projek-projek pembangunan termasuk kesihatan dan pendidikan selain bergerak ke arah bajet seimbang menjelang 2020.

Katanya, dengan mengadaptasi langkah-langkah yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih kukuh, perkara itu bukan sahaja melindungi negara daripada krisis kewangan, tetapi dapat membuka peluang dan mewujudkan pekerjaan baru.

Sekali gus tegasnya, banyak pihak akan lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat-syarikat Malaysia, membina kilang-kilang di Malaysia dan memulakan perniagaan-perniagaan baru.

Jelas beliau, hal tersebut seterusnya akan memacu pembangunan ekonomi, membantu untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang.

"Jika kita ingin menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, kadangkala kita perlu mengambil keputusan sukar lagi tidak popular. Kepimpinan bermaksud melihat sesuatu dalam jangka masa panjang, melakukan apa yang betul dan bukan apa yang popular.

"Pada tahun 2009, kita telah memulakan perjalanan transformasi ekonomi dan kerajaan. Apabila 2014 menjelang, kita harus membina asas kejayaan Malaysia yang lestari, ekonomi yang lebih kuat dengan rakyat yang lebih bersatu padu," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menyedari kebimbangan orang ramai dengan kehadiran 2014 - bimbang dalam usaha kerajaan untuk mengimbangi bajet negara termasuk tekanan terhadap belanjawan isi rumah.

"Saya faham dan bersimpati dengan kebimbangan ini. Rakyat yang rajin bekerja akan merasakan kesan kenaikan kos. Dan ketika media kita dipenuhi angka-angka defisit dan peningkatan harga, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa 2014 hanya bakal membawa keperitan semata," ujarnya.

Namun katanya, di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) jelasnya, Malaysia telah berkembang dengan pesat dengan pendapatan per kapita telah meningkat sehingga 49 peratus dalam tempoh empat tahun lepas.

"Kita terpaksa mengambil keputusan yang sukar agar kos pinjaman kekal rendah dan keyakinan pelabur terus kukuh, kedua-dua faktor ini genting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus kukuh dan berkembang.

"Kita harus menerima hakikat bahawa kita perlu melaksanakan perubahan demi memastikan kewangan kita kekal terkawal dan kita perlu mengimbangi program ini seluas mungkin agar beban dapat diagih dengan saksama," tegas beliau.

Sementara itu beliau memberitahu, kerajaan dan rakyat juga perlu aktif dalam usaha menggapai nilai perpaduan kerana kestabilan dan kemajuan negara adalah bergantung kepada nilai tersebut.

Untuk itu tambahnya, tanggungjawab dan keutamaan kerajaan kini adalah untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung kepada faktor berkenaan.

"Membina semula perpaduan negara dan menggalakkan debat umum yang berlandaskan rasa hormat menjadi sebahagian besar daripada rancangan ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment